CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, June 28, 2009

TEPAK SIRIH & SIRIH JUNJUNG PENDAHULU ADAT


Sirih Junjung atau Sirih Dara merupakan dulang hantaran yang mengepalai rombongan hantaran meminang. Biasanya dalam rombongan peminangan yang lengkap dengan barangan hantaran, Sirih Junjung akan mendahului yang lain dan ia juga akan diletakkan di barisan pertama. 

Akan tetapi, didalam konteks masyarakat Melayu  hari ini, ia selalunya di bawa pada hari pertunangan dan  pernikahan beserta barangan hantaran yang lain. Daun sirih sebenarnya merupakan makanan bagi pembuka bicara buat masyarakat kita semasa acara bertandang pada zaman dahulu. Biarpun kini orang Melayu tidak lagi mengamalkan memakan sirih sebagai pembuka bicara, tetapi Sirih Junjung masih dibawa bersama. 

 
Menghias Sirih Junjung sebenarnya memerlukan daya kreatif dan seni yang unik. Pada hari ini, para pereka Sirih Junjung atau Sirih Dara telah menerapkan daya kreativiti moden dalam gubahan sirih mereka. Namun, matlamatnya tetap sama.


Tepak sirih khas digunakan sebagai barang perhiasan dan dalam upacara-upacara rasmi. Oleh kerana tepak sirih penting dalam adat istiadat, ia tidak layak digunakan sembarangan, tambahan pula harganya mahal dan susah untuk dijaga dan dibersihkan.

Semasa Kerajaan Melayu Melaka dipertengahan abad ke15, diceritakan bahawa Pahlawan lagenda Hang Tuah telah memberikan kepada Hang Jebat sepiak sirih di dalam tepak sirih kepunyaan Sultan Mahmud semasa berhenti rehat dalam pertarungan, sebelum merampas keris sakti bernama Taming Sari dari tangan Hang Jebat sebelum dapat membunuhnya di atas penderhakaan terhadap Sultan Melaka.

Dizaman awal Kesultanan Melayu Perak, terdapat dua buah tepak sirih yang diperbuat dari emas bernama Puan Bujur dan Puan Naga Taru telah dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia ketika itu. Ianya masih tersimpan sebagai khazanah berharga istana Sultan Perak hingga kini 

Di dalam tepak sirih terdapat cembul-cembul yang digunakan untuk menyimpan ramuan sirih pinang. Cembul-cembul ini seharusnya disusun mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh orang-orang dahulu.



Kedudukan Cembul
Dalam Tepak Sirih

Dulang tepak sirih ini dibahagikan kepada dua bahagian, di bahagian atas disusun empat cembul mengikut susunan iaitu pinang, kapur, gambir dan tembakau. Di bahagian bawah pula disusun cengkeh, sirih dan kacip. Begitu juga dengan tepak sirih yang berbentuk bulat, cembul akan disusun keliling di dalamnya mengikut aturannya. Masyarakat Melayu menamakan tepak sirih berbentuk bujur sebagi puan dan tepak yang berbentuk empat segi bujur.


Terdapat juga daun-daun sirih ini dimasukkan kedalah bekas sirih terlebih dahulu, ianya tidak disisipkan di dalam tapak begitu sahaja, ini kelihatan lebih teratur dan kemas.

Bagi masyarakat Melayu, sirih disusun sedemikian rupa untuk menunjukkan tertib ketika mengapur sirih, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Daun-daun sirih yang disusun dalam tepak sirih hendaklah dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya, disusun sebanyak lima atau enam helai dalam satu baris. Satu tepak sirih selalunya mengandungi empat atau lima susun sirih tadi. 

Sirih yang berlipat ini wajib dibuat kerana hendak mengelak dari terlihat ekor sirih itu. Ekor sirih tidak boleh dinampakkan kerana pada anggapan mereka ini adalah satu keadaan yang kurang sopan dan tidak menghormati tetamu. Tepak sirih yang telah lengkap ini dihias dengan bunga dan dibungkus dengan kain songket. Tepak sirih seperti ini dinamakan tepak sirih adat.

Tepak sirih terdiri daripada komponan berikut: Bekas sirih, Cembul, Bujam Epok, Kacip, Gobek, Celepa dan Ketur. Tetapi kini budaya makan sirih jarang menggunakan lagi Bujam Epok sebagai satu peralatan lengkap.

Manakala kandungan cembul pula terdiri daripada: Daun sirih, Pinang, Gambir, Tembakau, Cengkih dan Kapur.


0 comments: